PULAU PINANG, 28 MEI- Ibarat jatuh cinta pandang pertama!Begitu kata seorang anggota polis, ASP Mohd. Rosli Mohd. Ali, 53, yang berjaya muncul salah seorang daripada ribuan pelajar baru Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) di peringkat ijazah sarjana muda, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.Lebih manis, kejayaan itu turut dirai bersama isteri tercinta, Zawiyah Mohamad, 47, yang juga bersama-sama beliau melafaz ikrar sebagai pelajar jarak jauh USM.Mengulas cinta pandang pertama itu, Mohd. Rosli berkata, minat untuk melanjutkan pelajaran timbul setelah beliau bersama isteri pergi menghantar anak sulung mereka, Nor Azida, 22, melanjutkan pelajaran juga di USM dua tahun yang lalu.
``Masa sesi pendaftaran dibuat, saya begitu teruja melihat kumpulan pelajar berpusu-pusu mengisi borang, bersuai-kenal dan sebagainya. Dari situ terbit rasa cinta terhadap bidang ilmu dan saya berazam untuk menjejakkan kaki ke USM,’’ jelasnya.Bagaimanapun katanya, setelah dua tahun menanam impian, hasrat beliau hanya berjaya dicapai pada tahun ini memandangkan terlalu sibuk dengan tuntutan kerjanya sebagai penjaga keamanan negara.
``Tapi saya bersyukur kerana isteri turut bersama saya dalam menimba ilmu di USM. Saya amat berharap kami dapat sampai ke penghujung dan berkongsi segulung ijazah bersama anak-anak,’’ kata beliau.Pasangan tersebut mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan dijangka bakal menamatkan pengajian empat tahun dari sekarang.
Sementara itu, Wan Kamarulzaman Bin Aan Mohd. Nur, 38 tahun, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan turut bertuah sebagai menjadi pelajar RPJJ yang mengikuti jurusan Sains Kemasyarakatan di USM.Beliau merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang berjaya menempatkan diri dalam ribuan pelajar yang mendaftar bagi mengikuti sesi pengajian di USM.Wan Kamarulzaman yang menghidap penyakit Polio sejak dilahirkan menghadapi kesukaran untuk berjalan tanpa bantuan tongkat. Namun, sakit Polio tidak menjadi penghalang kepada beliau dalam usaha merealisasikan impian untuk mendapatkan segulung ijazah. Beliau yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kota Bharu, disifatkan sebagai seorang yang gigih dan kental setelah memandu sendirian ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang untuk menyertai Minggu Suaikenal RPJJ USM yang berlangsung pada 26- 29 Mei 2008.“Isteri dan anak yang berumur 7 tahun merupakan pendorong utama kepada saya untuk melanjutkan pelajaran.” kata Wan Kamarulzaman.Beliau turut menasihatkan rakan-rakan senasib dengannya untuk terus berusaha menimba ilmu kerana pada pendapatnya, hanya dengan kuasa ilmu dapat memartabatkan OKU, dan tanpa ilmu masyarakat tidak memandang OKU.
Selain beliau, Puan Chew Luong Voon, 54 tahun, yang bekerja sebagai guru di SRJK Tit Bin, Pantai Remis, Perak turut berkongsi pengalaman muncul antara individu tertua yang mengikuti RPJJ di USM.Jelas beliau, pelbagai pengalaman suka dan duka terpaksa ditempuhi untuk sampai ke destinasi sekarang, antaranya ialah faktor kemelesetan ekonomi dan ditimpa kemalangan sehingga memaksa beliau berehat dalam tempoh yang amat panjang.
``Saya tidak mengenal erti putus asa dan setelah 24 tahun menanti, hasrat saya tercapai apabila saya menerima tawaran daripada pihak USM untuk mengikuti jurusan Biologi, '' jelasnya.
No comments:
Post a Comment